Saturday 11 June 2011

HERET MAYAT TANPA KEPALA

PENAMPANG : Leher seorang mekanik ditetak bertalu-talu dengan parang sebelum dipotong sehingga putus menggunakan pisau pemotong daging. Kepala itu kemudian dicelup ke dalam minyak hitam sebelum dimasukkan ke dalam guni oleh seorang pemandu jengkaut di sebuah bengkel kereta di Kampung Kandazon, Jalan Terawi, Putatan disini, semalam.
      Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, tubuh Asri Patahuddin, 37, yang tidak berkepala diheret 10 meter dari tempat kejadian sebelum disembunyikan dalam van rosak di bengkel berkenaan. 
     Sebelum kejadian, pemandu jengkaut berusia 30 tahun itu membersihkan halaman bengkel itu. Tiba-tiba dia yang membawa sebilah parang mendekati Asri yang ketika itu membaiki enjin sebuah kenderaan lalu menetak leher mangsa menyebabkannya rebah.
     Lelaki terbabit kemudian bertindak lebih ganas dengan menetak leher mangsa berulang kali. 
     Dua rakan sekerja Asri yang melihat kejadian itu cuba menghalang tindakan ganas pemandu jengkaut itu, tetapi lelaki terbabit melibas parang beberapa kali ke arah mereka menyebabkan kedua-duanya melarikan diri.
     Suspek kemudian masuk ke dapur bengkel dan mengambil sebilah pisau pemotong daging sebelum memotong leher mangsa sehingga putus. 
     Rakan mangsa, Ramli Simmi, 38, berkata sebelum kejadian, lelaki terbabit berkelakuan pelik dan memberitahu jengkaut yang digunakannya untuk membersihkan halaman bengkel itu rosak. 
     "Saya dan seorang rakan, (Andy Bryan, 37,) pergi membaikinya tapi kami mendapati tiada masalah."
     " Selepas itu, suspek berlegar-legar di dalam bengkel sambil menyatakan dia mencari parang untuk membersihkan rumput di kawasan bengkel."
     "Kami meminta dia mencari di dapur dan selepas itu dia membawa keluar parang dan menebas lalang di luar kawasan bengkel," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
     Menurutnya, beberapa minit kemudian lelaki itu datang semula ke bengkel sambil membawa parang dan menghampiri Asri yang ketika itu sibuk membaiki enjin.
     "Tiba-tiba dia melibas parang ke leher Asri menyebabkan kami tergamam sebelum Andy cuba menhalang, tapi dia bertindak ganas apabila melibas parang ke arah kami.Andy mengambil kerusi lalu memukul kakinya, namun tidak diendahkan."
     "Bimbang turut menjadi mangsa, saya dan Andy keluar dari bengkel meminta pertolongan sebelum menghubungi polis. Ketika itu saya melihat dia masuk ke dapur dan keluar membawa sebilah pisau lalu memotong leher Asri hingga putus," katanya.
      Dia kemudian melihat pemandu jengkaut itu mengambil setong minyak hitam dan mencelupkan kepala mangsa yang sudah bercerai daripada badan ke dalam minyak berkenaan sebelum memasukkan ke dalam guni.


     " Saya amat terperanjat dan ngeri melihat lelaki itu mengangkat kepala Asri lalu mencelupnya ke dalam minyak hitam. Dia menyimbah mayat Asri dengan minyak hitam sebelum mengheret mayat sejauh 10 meter dan menyimpannya di dalam van di bengkel itu," katanya.


     Sementara itu Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Signh mengesahkan kejadian itu dan berkata, anggota polis yang tiba di tempat kejadian menahan suspek.
     "Ketika ditahan, Suspek berkelakuan seolah-olah tidak melakukan perbuatan itu, tetapi cuba mengelak daripada ditahan. Dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Penampang untuk siasatan lanjut.
     "Polis turut menemui 2 senjata iaitu parang dan pisau yang dipercayai digunakan untuk membunuh Asri," katanya.
     Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek mengalami masalah mental, namun polis masih menjalankan siasatan lanjut.
     " Suspek direman dan kes disiasatan mengikut Seksyen 302 kerana membunuh," katanya.

No comments:

Post a Comment

Followers